Profil Sekolah

Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor atau nama ringkasnya SM Sains Kuala Selangor, juga dikenali sebagai KUSESS (Kuala Selangor Science Secondary School), merupakan sebuah Sekolah Menengah Sains (Sekolah Berasrama Penuh) yang terletak di Bandar Malawati, Kuala SelangorSelangor.

Pada 2009, Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor memiliki 339 pelajar lelaki dan 356 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 695 orang. Ia mempunyai seramai 65 orang guru.

Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor memiliki lebih kurang 700 orang pelajar lelaki dan perempuan berusia 13 hingga 17 tahun dan mempunyai 68 orang tenaga pengajar. KUSESS kini memegang status Sekolah Berprestasi Tinggi sejak tahun 2012 (Kohort 2). Di KUSESS, penerapan sistem rumah amat dititberatkan. Setiap rumah diwakili dengan nama kereta kebangsaan; Wira (rumah biru), Waja (rumah merah), Satria (rumah hijau) dan Perdana (rumah kuning). KUSESS telah melahirkan ramai orang yang berjaya dalam pelbagai bidang.


Sejarah

Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (KUSESS) ialah sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Ia mula dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-6 (RMK-6) pada 24 April 1994 dan berjaya disiapkan pada tahun 1996.

Sekolah ini mula beroperasi pada 8 September 1996 dengan pengambilan pertama seramai 210 orang pelajar. Pada waktu itu, hanya terdapat seramai 19 orang guru dan 4 orang staf sokongan. Bagaimanapun, tahun berikutnya menunjukkan peningkatan mendadak bilangan pelajar yang belajar di sekolah ini. Seramai 187 orang pelajar mendaftar di Tingkatan 1 dan 165 orang pelajar mendaftar di Tingkatan 4. Bilangan guru pula meningkat daripada 19 orang kepada 53 orang. Walaupun sekolah ini telah beroperasi sejak tahun 1996, tetapi sekolah ini hanya dirasmikan pada 27 Mei 1997 oleh Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim.