Selasa, 20 Oktober 2009

Salahguna Cuti Sakit

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat pembaca bertajuk “Salah Guna Cuti Sakit” oleh Kakitangan Lama, Putrajaya yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 6 Oktober 2009.

Peraturan mengenai kemudahan Cuti Sakit diperuntukkan di bawah Perintah Am 15 Bab ‘C’ yang menjelaskan bahawa Ketua Jabatan boleh meluluskan Cuti Sakit kepada seseorang pegawai yang telah disahkan sebagai tidak sihat untuk menjalankan tugas-tugasnya oleh seorang Pegawai Perubatan atau oleh sebuah Lembaga Perubatan atau oleh seorang ahli Panel Doktor. Pengesahan tidak sihat ini hendaklah dibuat di atas sijil sakit.

Di bawah peruntukan Perintah Am yang sama juga, Ketua Jabatan diberi kuasa untuk menerima mengikut budi bicaranya sendiri sebarang sijil sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta tanpa sokongan daripada Pegawai Perubatan Kerajaan terhad kepada tidak melebihi 15 hari dalam sesuatu tahun.

Penentuan seseorang pegawai itu tidak sihat untuk menjalankan tugasnya adalah di bawah bidang kuasa Pegawai Perubatan atau doktor swasta mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia atau Majlis Perubatan Malaysia. Oleh yang demikian, Ketua Jabatan boleh meluluskan kemudahan Cuti Sakit kepada seseorang pegawai yang dapat membuktikan bahawa dirinya tidak sihat untuk bertugas dengan mengemukakan sijil sakit dari Pegawai Perubatan atau doktor swasta.

Walau bagaimanapun, Ketua Jabatan mempunyai kuasa untuk tidak meluluskan kemudahan Cuti Sakit kepada seseorang pegawai jika Ketua Jabatan mendapati sijil sakit yang dikemukakan itu diperolehi dengan cara yang tidak sepatutnya. Contohnya, pegawai membeli sijil sakit atau mengubah tarikh yang telah dinyatakan di dalam sijil sakit yang dikeluarkan oleh Pegawai Perubatan atau doktor swasta.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
19 Oktober 2009
[sumber: Laman web JPA]

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 2 TAHUN 2006

Tiada ulasan: