Jumaat, 16 Ogos 2002

Sejarah Sekolah


Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor atau singkatannya KUSESS adalah Sekolah Berasrama Penuh di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Nama singkatan KUSESS adalah berasal dari nama sekolah dalam bahasa Inggeris  iaitu Kuala Selangor Science Secondary School.

KUSESS dibina oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-6. Kerja-kerja awal pembinaan sekolah ini bermula pada 28hb. April 1994 dan siap pada tahun 1996. Sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah menengah sains di negeri Selangor.

Sekolah ini terletak di Bandar Baru Malawati, Daerah Kuala Selangor, iaitu kira-kira 70 km daripada bandaraya Kuala Lumpur. Keluasan sekolah ini ialah 11.28 hektar atau bersamaan dengan 27.67 ekar.

Pengetua pertama yang diamanahkan untuk menerajui KUSESS adalah Tuan Haji Khamis bin Maarof. Pelajar-pelajar perintis KUSESS ini dipilih dari seluruh Malaysia yang mempunyai keputusan cemerlang (4A) dalam UPSR. Pada tahun 1996, seramai 210 orang pelajar tingkatan 1 ditempatkan dalam kelas dan mereka memulakan persekolahan pada 8hb September 1996. Pada tahun tersebut tenaga pendidiknya seramai 19 orang.

Pada 1997, bilangan pelajar dan pendidik semakin bertambah apabila pelajar tingkatan empat  mendaftar. Bilangan pelajar tingkatan satu seramai 187 orang, manakala pelajar tingkatan 4 seramai 165 orang dan seramai 53 orang guru. Pada tahun tersebut juga merupakan tahun yang penuh bermakna bagi seluruh warga KUSESS kerana KUSESS telah dirasmikan olah Pemangku Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Dato’ Sri Anwar Ibrahim pada 27 Mei 1997.

Pada tahun 1998, KUSESS sekali lagi mencatatkan sejarah kerana semua tingkatan telah diisi dengan pelajar-pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 apabila seramai 145 pelajar tingkatan 1 dan 103 pelajar tingkatan 4 melapor diri. Selaras dengan pertambahan bilangan pelajar,maka bilangan tenaga pendidik juga meningkat menjadi 65 orang.

Setakat ini KUSESS telah ditadbir oleh 5 orang Pengetua, iaitu bermula dengan Tuan Haji Khamis bin Maarof, diikuti dengan Tuan Haji Ariffin bin Abdul Rahman, Puan Rosida binti Md Zin, Puan Che Kamaliah binti Endut, Puan Hajah Rossminah binti Yamin (A.M.N) dan Doktor Hajah Rosnah binti Selamat, iaitu Pengetua terkini.

Kini, KUSESS mempunyai seramai 785 orang pelajar, 66 orang guru, dan 22 orang staf sokongan. Pelajar ditempatkan di dalam 27 buah kelas iaitu 15 kelas menengah rendah dan 12 kelas menengah atas. KUSESS juga mempunyai seramai 10 orang guru cemerlang yang akan memastikan kecemerlangan pelajar setiap tahun.

KUSESS juga adalah salah sebuah sekolah dari 88 buah sekolah bestari perdana. Pengiktirafan ini bermula dari tahun 2000 sehinggalah kini dan mengekalkan status tersebut dengan mendapat 5 bintang dalam penarafan SSQS. Selain dari itu, KUSESS juga dipilih sebagai sekolah pemangkin daerah untuk memperluaskan program pembestarian sekolah di negeri Selangor. Pelbagai aktiviti pembestarian dijalankan dan ini bukan sahaja membantu tugas guru dengan lebih efisien bahkan juga dapat mempertingkatkan prestasi pelajar dalam pembelajaran dan seterusnya berkemahiran dalam ICT.

Pada 28hb Mei 2011, KUSESS juga telah diiktiraf sebagai sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi. Ini adalah berdasarkan pencapaian sekolah yang sangat membanggakan terutamanya dalam bidang akademik dimana sekolah telah mendapat skor komposit 92.46 pada tahun 2010 dan 90.75 pada tahun 2011 meletakkan KUSESS di tangga ke 14 dari 2248 buah sekolah menengah seluruh Malaysia seterusnya melayakkan sekolah untuk dipilih sebagai sekolah SBT.